KUCHING: Sarawak perlu merangka pendekatan baharu yang lebih fleksibel dan bersifat strategik dalam usaha menghadapi perubahan landskap ekonomi yang kian mencabar.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ketegangan geopolitik dan dasar perdagangan yang tidak menentu menjejaskan kestabilan ekonomi global, menambah tekanan kepada pendapatan negara dan kehidupan rakyat.
Maka, langkah memperkemas perancangan pembangunan serta menilai semula setiap strategi amat penting bagi memastikan Sarawak kekal berdaya tahan.
“Walaupun kita tidak terlibat secara langsung dalam konflik antarabangsa atau dasar perdagangan besar, kesannya tetap sampai kepada kita melalui jaringan ekonomi global.
“Justeru, kita perlu menyemak semula pelan pembangunan kita dan menilai peranan kedutaan serta jaringan kerjasama antarabangsa yang kita ada. Dunia berubah pantas, dan kita juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 Jabatan Premier Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Premier Sarawak turut menegur kelewatan pelaksanaan beberapa projek kerajaan walaupun peruntukan telah diberikan.
Tegasnya, segala projek yang telah diumumkan, sama ada daripada beliau sendiri mahupun ahli kabinet yang lain, perlu dilaksanakan segera tanpa tertangguh.
"Ada projek diumumkan, tapi apabila saya turun padang, belum bermula. Ini tidak boleh berlaku. Kita perlu pantau pelaksanaan dengan lebih serius.
“Saya berharap projek-projek yang dimaksudkan dapat dipercepatkan pelaksanaannya," gesanya lagi.
Selain itu, Abang Johari turut menyeru agar semua agensi kerajaan dan penjawat awam bekerja lebih keras untuk mencapai matlamat pembangunan menjelang 2030.
"Kita ada sasaran jelas. Untuk mencapainya, kita perlu kerja lebih masa, kami di kabinet juga sudah tiada lagi cuti Sabtu dan Ahad. Ini pengorbanan demi masa depan Sarawak,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan seunit televisyen pintar daripada Jawatankuasa Pengelola Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 Jabatan Premier Sarawak kepada Rumah Sri Kenangan Kuching.
Hadir sama di majlis itu ialah Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan yang lain.